Monday, February 28, 2011

8 Pemimpin Kanan Hindraf, HRP Dijangka Didakwa Jumaat

KUALA LUMPUR: Lapan pemimpin kanan kumpulan tidak berdaftar Hindraf dan Parti Hak Asasi Manusia (HRP) yang ditahan semalam kerana berhimpun secara haram dijangka dihadapkan ke mahkamah Jumaat ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam dan polis kini dalam proses melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
"Kami akan serahkan laporan lengkap siasatan dalam masa terdekat kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya sebelum tarikh berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.


Zulkifli berkata, polis turut menahan 14 orang lagi di Balai Polis Daerah Jinjang apabila mereka enggan bersurai di hadapan balai itu malam semalam.

"Polis terpaksa menahan mereka dan akan disiasat di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis kerana berhimpun secara haram sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada petang ini," katanya.

Semalam, seramai 109 orang, termasuk pemimpin Hindraf P.Uthayakumar ditahan polis kerana berdemonstrasi secara haram bagi membantah novel Interlok.

Mengulas tentang mesyuarat bersama DBKL, Zulkifli berkata polis dan DBKL akan meningkatkan kerjasama dalam menjaga keselamatan bandar ini dengan pemantauan daripada kedua-dua pihak.
"Di bawah satu projek khas, polis dan DBKL telah mengenal pasti kawasan yang tinggi kadar jenayah ataupun kawasan panas dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail berkata DBKL akan menambah jumlah CCTV di seluruh kawasan bandar raya yang akan diperoleh secara sewa.

"Jumlah keseluruhan pemasangan CCTV akan mencapai lebih 1,000 unit dan 100 unit CCTV akan dipantau bersama polis di kawasan panas sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Ahmad Fuad berkata pemasangan CCTV itu diharap dapat memudahkan tugas pemantauan sekaligus mengurangkan lagi kadar jenayah di ibu negara. - BERNAMA

sumber Berita harian

No comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak akan bertanggungjawab terhadap semua komen dari pembaca di sini.