Thursday, March 24, 2011

Bapa Dan Anak Antara Calon Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10

KANOWIT, 23 Mac (Bernama) -- Pasangan bapa dan anak adalah antara calon yang akan bertanding dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-10 pada 16 April ini.

Alexius Douglas akan bertanding bagi kerusi DUN Ngemah di sini manakala bapanya, Douglas Alau Tayan, pula bagi kerusi Pelagus di Bahagian Kapit.

Mereka berdua berasal dari sini namun kini tinggal di Kuching.


Nama mereka diumumkan oleh Presiden Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Edwin Dundang Bugak di Kuching Selasa.

Douglas adalah bekas pensyarah universiti. Beliau meletak jawatan untuk menyertai politik dan pada pilihan raya negeri 1991, beliau mencabar penyandang kerusi DUN Machan, Datuk Gramong Juna atas tiket Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang kini telah pun dibubarkan.

Bagaimanapun, beliau kalah apabila hanya memperoleh 3,089 undi berbanding 3,700 undi yang diraih Gramong.

Pada 2001, beliau sekali lagi bertanding sebagai calon bebas menentang Gramong bagi kerusi yang sama namun kalah.

Pemerhati politik tempatan berpendapat bahawa langkah beliau mencuba nasib di Pelagus kali ini, mungkin agak mustahil untuk membuahkan hasil memandangkan beliau tidak begitu dikenali di sana. Kerusi itu juga merupakan kubu kuat Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Sementara itu, bersama dengan anak lelaki beliau, Alexius, yang menyertai saingan di DUN Ngemah, terdapat tiga lagi calon yang akan menentang Barisan Nasional (BN) bagi kerusi kawasan luar bandar dengan majoriti pengundi dayak Iban.

Alexander Vincent dijangka menjadi calon BN yang mewakili PRS sekali lagi.

Beliau membuat kemunculan sulung di kawasan berkenaan pada pilihan raya negeri 2006 di mana beliau dikalahkan oleh Gabriel Adit Demong, bekas penyandang daripada BN selama empat penggal yang kemudiannya memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas.

Alexander kini sangat dikenali di sini kerana selepas kekalahan itu, beliau berusaha keras untuk memenangi hati penduduk setempat. Alexius mungkin berdepan tugas besar bagi kerusi berkenaan memandangkan beliau tidak dikenali di kawasan itu.

Saingan di sini semestinyalah antara Gabriel Adit, yang kini Pengerusi Parti Cinta Malaysia cawangan Sarawak dan calon BN/PRS.

Parti Keadilan Rakyat meletakkan harapan ke atas pesara guru besar itu untuk meneruskan kemaraannya.

Seorang ahli perniagaan berbangsa Cina yang berhasrat untuk bertanding sebagai calon bebas turut dilihat mengunjungi kira-kira 200 rumah panjang di kawasan pilihan raya itu.

sumber: BERNAMA

1 comment:

  1. No way a discarded candidate can win in Pelagus constituency.

    ReplyDelete

Pemilik Blog tidak akan bertanggungjawab terhadap semua komen dari pembaca di sini.