KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, semalam mengajak seluruh jentera Barisan Nasional (BN) untuk berjuang habis-habisan bagi memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 tidak lama lagi.
Sambil memberi peringatan bahawa pilihan raya sudah semakin hampir, Pengerusi BN negeri itu berkata, jentera BN perlu bersatu untuk berjuang memastikan Sarawak terus maju, demi kesejahteraan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
“Jangan sama sekali gentar untuk mempertahankan Sarawak daripada dicerobohi pihak yang hanya memperjuangkan politik persepsi iaitu politik propaganda, demi kepentingan diri, yang hanya bertujuan mengelirukan rakyat.